Salam Ramadhan untuk semua. Alhamdulillah, dengan limpah rahmat dan keizinanNya, sekali lagi kita telah diberi peluang untuk bersama-sama mendapatkan keberkatan bulan yang indah ini. Semoga ibadah puasa tahun ini lebih bermutu dan diredhai.
Ramadhan memang sentiasa dikaitkan dengan rezeki yang melimpah-ruah sepanjang ianya berlangsung. Pelbagai makanan ada dijual di mana-mana. Ibu-ibu juga sedia memasak juadah berbuka pilihan ahli keluarga, yang selalunya menjadi cara menghargai dan memberi semangat dan dorongan buat anak-anak yang pertama kali berpuasa. Sekadar peringatan untuk pembaca dan juga diri saya sendiri, di bulan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mengelakkan pembaziran. Mungkin juga boleh dijadikan permulaan menanam sikap berjimat di kalangan ahli keluarga.
Memandangkan blog ini berkaitan masakan dan penyediaan makanan, sukalah saya berkongsi satu lagi resepi tukang masak tersohor, Puan Rubiah Suparman. Kepada yang memang menyukai masakan kampung, saya yakin resepi di bawah ini tidak akan mengecewakan.
'Sambal Tempoyak Daun' |
1 ikat pucuk ubi ( saya gandakan kerana tiada pucuk labu dan daun kaduk)
1 ikat pucuk labu }
10 helai daun kaduk } (saya abaikan kerana tidak dapat dicari di pasar)
1 helai daun kunyit (saya gunakan 2 helai)
2 batang serai
10 biji cili api
1 labu bawang besar
1 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk kunyit
2-3 cawan santan pekat (saya gunakan santan kotak Ayam Brand dan dicampur air mencukupkan 3 cawan)
1 papan petai (diambil bijinya) (saya hiris tipis)
3 sudu besar ikan bilis (saya tumbuk kasar-kasar)
3 sudu besar tempoyak
garam secukup rasa
1 sudu teh gula pasir (ini tiada dalam resepi asal)
Cara memasak:
- Hiris halus pucuk ubi, daun kunyit dan serai. Rendam dalam air garam.
- Sementara itu, cili api, bawang besar dan bawang putih dkisar halus. kemudian, toskan bahan-bahan yang telah direndam tadi dan keringkan airnya.
- Masukkan ke dalam periuk dan letakkan bahan-bahan kisar tadi bersama ikan bilis, petai santan dan tempoyak. Masak hingga mendidih dan pekat.
0 comments:
Post a Comment